PONTIAN: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, Datuk Hasni Mohammad percaya para pengundi akan memilih gabungan itu untuk membentuk kerajaan negeri yang sah dan stabil demi kemakmuran rakyat dan negeri itu.
“Saya yakin kerajaan BN tetap menjadi pilihan rakyat di Johor ini,” katanya kepada pemberita ketika berkempen di Kg Parit Dua di Benut, semalam.
Hasni turut mengingatkan para pengundi untuk keluar awal menunaikan tanggungjawab mengundi.
“Kita telah melalui proses kempen selama lebih dua minggu ini. Saya yakin dan percaya bahawa pengundi-pengundi akan membuat keputusan yang akan berakhir dengan satu pembentukan kerajaan yang kukuh,” tambah Hasni.
Begitu juga buat pengundi muda yang akan mengundi buat pertama kali, apabila Hasni menasihatkan mereka supaya membuat keputusan yang betul demi pembangunan ekonomi yang mampan untuk dinikmati generasi akan datang.
“Kalau orang muda ada idea baik lagi, saya sedia mendengar untuk kebaikan dan pembangunan Benut,” katanya.
Untuk PRN Johor yang berlangsung hari ini, BN dan Perikatan Nasional (PN) membariskan seramai 56 calon untuk bertanding di kesemua kerusi DUN.
Pakatan Harapan (PH) membariskan 30 calon; Pejuang dengan 42 calon; PKR pula seramai 20 calon, selain Bebas dengan 16 calon dan MUDA hanya 7 calon.
Sementara itu Warisan yang pertama kali bertanding di Semenanjung pula membariskan enam calon, Parti Bangsa Malaysia (4 calon) selain masing-masing satu calon bagi Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).