Hasni Cadang Muka Baru Sebagai MB Johor

KUALA LUMPUR: Tanda tanya siapa yang bakal dilantik sebagai Menteri Besar Johor hanya akan terjawab esok selepas Datuk Hasni Mohammad mencadangkan agar pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin kerajaan negeri.

Pada awalnya Hasni dicalonkan oleh BN untuk mengekalkan kedudukan sebagai Menteri Besar Johor.

Namun ADUN Benut itu berkata, cadangan tersebut dibuat selepas melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan negeri Johor dan demi kemakmuran negeri yang berpanjangan.

”Kerajaan negeri di bawah pimpinan saya telah berikhtiar sebaik mungkin untuk menjadikan negeri Johor berdaya tahan dalam mendepani cabaran-cabaran pandemik Covid-19.

”Insya-Allah di bawah kepimpinan baharu, negeri Johor akan menjadi lebih makmur dan sejahtera. Seperti yang saya ucapkan pada malam kemenangan BN Johor tempoh hari, tiada ideologi politik, ahli politik dan parti politik yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta’zim.

”Kini merupakan masa untuk kita bersama-sama membina Johor yang lebih makmur,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Hasni juga memanjatkan rasa syukur kerana PRN Johor telah berlangsung dalam keadaan harmoni dan lancar.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua calon yang berjaya memenangi kerusi yang ditandingi masing-masing, sama ada daripada BN, mahu pun parti-parti lain termasuk calon bebas.

”Dengan kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli dan jentera komponen BN yang telah bertungkus lumus berkempen bagi memenangkan calon dan parti.

”Kejayaan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan adalah berkat kerjasama dan kerja keras semua pihak dalam menarik sokongan rakyat Johor.

”Saya menghargai keprihatinan dan kepercayaan parti sepanjang menjayakan Pilihan Raya Negeri Johor ke-15, sehingga membawa kepada kemenangan besar BN,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles