Hasni Berjiwa Besar Kerana Beri Ruang Orang Muda Memimpin Negeri

JOHOR BAHRU: Penghargaan khas diberikn Menteri Besar Johor ke-19, Datuk Onn Hafiz Ghazi terhadap bekas penyandang dan juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Hasni Mohammad yang memberi ruang dan laluan kepada orang muda bagi mengemudi kerajaan negeri.

“Pengorbanan yang dilakukan Datuk Seri Hasni Mohammad untuk memberi ruang kepada saya bagi memimpin Johor. Langkah Datuk Seri Hasni itu bukan sahaja menunjukkan betapa besarnya hati dan jiwa negarawan beliau, tetapi juga membuktikan bahawa beliau meyakini peranan dan kemampuan orang muda dalam mengemudi Johor.

“Insya-Allah, saya akan sentiasa memohon khidmat nasihat daripada beliau yang jauh lebih berpengalaman daripada saya. Semoga gabungan orang yang berpengalaman dengan tenaga dan idealisme orang muda akan dapat membangun dan memperkukuhkan negeri ini supaya terus disegani dan melangkah lebih jauh lagi,” katanya dalam kenyataan dimuat naik menerusi Facebook.

Onn Hafiz diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sebagai MB Johor yang baru dalam upacara angkat sumpah jam tiga petang tadi.

Menerusi kenyataan yang sama, Onn Hafiz yang juga ADUN Machap berkata, beliau berasa insaf dan kerdil dengan amanah dan kepercayaan yang diberikan Sultan Johor itu.

“Namun, tanggungjawab yang amat besar ini akan saya galas dengan sepenuh hati dan dedikasi, serta dengan sedaya upaya patik demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri dan Bangsa Johor,” katanya.

Dalam masa yang sama Onn Hafiz berjanji akan menunaikan kesemua manifesto BN terhadap seluruh Bangsa Johor.

“Saya memohon semua Bangsa Johor tidak kira bangsa, agama dan latar belakang untuk bersama dengan saya bersatu hati, minda dan tenaga untuk terus membangunkan negeri yang kita cintai ini.

“Saya juga ingin memohon doa daripada semua agar segala langkah yang akan kita atur bersama selepas ini akan mendapat keberkatan Allah SWT serta mencapai segala matlamat yang disasarkan demi kemaslahatan negeri ini dan setiap dari rakyatnya.

“Saya percaya bahawa sesuatu itu hanya akan terjadi dengan izin dan kehendak-Nya jua. Justeru, saya terima mandat ini dengan tekad dan keazaman untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi dengan segala tenaga, kudrat dan kemampuan yang saya ada,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles