Harga telur ayam gred A, B, C turun 3 sen sebiji mulai hari ini: PM

Kuala Lumpur: Kerajaan memutuskan harga runcit telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji selaras usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kini, harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C masing-masing turun kepada 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji berkuat kuasa hari ini.

“Penampungan subsidi keperluan makanan rakyat sebanyak 10 sen bagi sebiji telur ayam ini melibatkan perbelanjaan RM100 juta, manakala pada tahun 2023 peruntukan subsidi telur ayam adalah sebanyak RM927 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata harga runcit bagi telur di Sabah, Sarawak dan Labuan juga akan diselaraskan mengikut bahagian dan zon yang diwartakan.

Beliau berkata langkah itu selaras dengan perkembangan semasa yang menunjukkan berlaku penurunan kos input pengeluaran telur ayam khususnya bahan asas kepada makanan ayam.

“Ingin saya tegaskan, masalah atau isu terkait kos kehidupan rakyat akan terus ditangani kerajaan secara lebih proaktif dan berkesan sambil berusaha sebaiknya dalam memampan dampak yang buruk ke atas kehidupan harian rakyat,” katanya.

Mengenai penyeludupan diesel, Anwar berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggerakkan Ops Tiris yang berlangsung sejak 1 Mac 2023 bertujuan membanteras permasalahan penyelewengan diesel bersubsidi yang memanfaatkan pihak tidak layak.

Sehingga 31 Dis 2023, sebanyak 6.44 juta liter diesel dianggarkan berjumlah RM14.12 juta telah dirampas.

Anwar berkata hasil dan perkembangan baik operasi tersebut, Ops Tiris 3.0 pula dijalankan dengan skop yang diperluas mencakupi barang-barang kawalan lain iaitu gula putih bertapis (kasar dan halus), minyak masak bungkusan beg poli 1 kilogram (kg), petrol RON95 dan gas petroleum cecair (LPG).

Sehingga 14 Jun lepas, sejumlah RM12.96 juta nilai barang kawalan telah dirampas dengan diesel menjadi barangan kawalan tertinggi yang diseludup dan diseleweng.

“Lantaran itu, Kerajaan MADANI akan kekal komited menangani penyeludupan diesel sambil berusaha mengimbanginya dengan perihal bekalan dan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Perdana Menteri menjelaskan subsidi tidak dihapuskan, tetapi apa yang dilakukan adalah memastikan pengurusan subsidi yang lebih cekap, tidak tiris dan sampai kepada kumpulan rakyat yang selayaknya.

Malah, katanya kerajaan masih perlu menanggung sekitar RM7 bilion untuk subsidi berkaitan diesel di Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata tujuan utama dasar penyasaran subsidi diesel adalah memastikan pembaziran subsidi tidak lagi diteruskan sambil memastikan penjimatan mesti dipulangkan kepada rakyat terbanyak.

“Hasil penjimatan daripada penyasaran subsidi ini tentunya akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan lain-lain sektor yang memberi dampak terbesar kepada rakyat,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata kerajaan masih mengekalkan harga minyak masak sawit tulen kemasan botol pada harga RM6.90 (1kg), RM13.30 (2kg), RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg) sejak kerajaan MADANI mengambil alih tampuk kepimpinan, walaupun harga minyak sawit mentah (CPO) dunia meningkat melebihi harga ambang RM3,890 per tan metrik.

Beliau berkata sebagai contoh, dengan harga CPO pada bulan Mac RM4,215 per tan metrik dan April RM4,256 per tan metrik, harga minyak masak sawit tulen 5kg boleh meningkat sehingga RM33-RM35. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles