Harga Minyak US Jatuh Ke Paras Terendah

HARGA minyak Amerika Syarikat jatuh ke tahap terendah dalam sejarah apabila mencecah angka negatif, semalam.

Kontrak penanda aras AS, West Texas Intermediate ditutup pada harga -AS$37.63 setong untuk penghantaran Mei.

Kontrak untuk Mei ditutup hari ini, sekali gus bermakna pedagang komoditi itu yang ingin meraih keuntungan perlu mencari pembeli minyak dengan segera, namun berdepan kekangan permintaan rendah dalam pasaran ketika ini.

Presiden Donald Trump berkata AS akan mengambil kesempatan atas kejatuhan harga minyak itu untuk mengisi simpanan stok strategik negara berkenaan, tertakluk kepada kelulusan Kongres.

“Kita akan mengisi rizab petroleum kebangsaan kita… anda tahu, rizab strategik.

“Kita sedang melihat untuk menambah hingga 75 juta tong minyak ke dalam rizab itu,” katanya pada sidang media, semalam.

Trump berkata beliau hanya akan membuat pembelian itu sekiranya Kongres meluluskan dana bagi tujuan berkenaan – atau jika kerajaan persekutuan dapat menyewakan ruang penyimpanan kepada pihak ketiga untuk bayaran tertentu.

Apabila harga kembali pulih nanti, vendor terbabit boleh menjual lebihan stok minyak yang dimiliki.

Pada 13 Mac lalu, Trump mengumumkan hasratnya untuk menambah Rizab Petroleum Strategik (SPR) AS dengan sebanyak mungkin.

Sehingga 17 April lalu, ia memiliki 635 juta tong daripada keseluruhan had 713.5 juta tong yang dibenarkan ketika ini.

Disimpan di dalam sebuah kompleks di empat tapak bawah tanah sepanjang teluk pantai Texas dan Louisiana di selatan AS, SPR itu mempunyai kapasiti penyimpanan berjumlah 727 juta tong.

Ia untuk kegunaan pada waktu kecemasan seperti ketika Perang Iraq 1991 atau selepas bencana Taufan Katrina pada 2005. – AFP, 21 April, 2020.

BBerkaitan

Latest articles