Harga makanan ternakan naik hingga 34 peratus

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga makanan ternakan sehingga 34 peratus menjejaskan margin keuntungan penternak tempatan, demikian mengikut Affin Hwang Investment Bank.

Menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya baru-baru ini, harga soya dan jagung masing-masing telah meningkat sebanyak 16.2 peratus dan 34.8 peratus dari awal tahun lalu hingga 30 Disember 2022.

Katanya, keuntungan QL Resources Bhd, antara penternak utama di Malaysia, boleh terjejas susulan kenaikan harga komoditi berkenaan.

“Panduan daripada pengurusan mengatakan bahawa kos bahan mentah boleh dialihkan kepada pelanggan, bagaimanapun ia mungkin mengambil masa di antara tiga bulan hingga tujuh bulan.

“Dalam masa itu, kami menjangkakan marginnya untuk menipis. Harga soya dan jagung pula masing-masing telah meningkat sebanyak 16.2 peratus dan 34.8 peratus dari awal tahun lalu hingga 30 Disember 2022,” katanya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu sebelum ini berkata, kenaikan harga ayam dan telur yang agak tinggi berpunca daripada faktor makanan ayam itu sendiri yang turut mengalami peningkatan yang mendadak.

Katanya, faktor makanan yang diimport juga menyebabkan berlaku peningkatan berganda.

Sementara itu Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, secara purata, kos pengeluaran ayam dalam negara adalah RM6.53 sekilogram (kg) pada bulan September lalu.

Katanya, harga sekilogram ayam di ladang dengan mengambil kira lima peratus, 10 peratus dan 20 peratus keuntungan daripada kos pengeluaran yang direkodkan berada di antara julat RM6.86 hingga RM7.84.

Manakala margin keuntungannya pada peringkat borong merekodkan RM1.30.

Katanya, di peringkat runcit pula, margin keuntungan sekilogram ayam mencatatkan RM1.25.

Bagi telur ayam, purata kos pengeluaran sebiji telur mencatatkan 48 sen. Sekiranya mengambil kira lima peratus, 10 peratus dan 20 peratus keuntungan daripada kos pengeluaran, harga telur di ladang direkodkan antara julat 50 sen hingga 58 sen sebiji.

“Margin keuntungan sebiji telur ayam peringkat borong dan runcit pula masing-masing mencatatkan 4 sen dan 2 sen,” katanya menerusi kenyataan baru-baru ini.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,682FollowersFollow
20,500SubscribersSubscribe

Terkini