Harga Eksport Malaysia Jatuh 0.7 Peratus

Harga eksport Malaysia pada November 2022, merekodkan kejatuhan 0.7 peratus daripada 149.7 mata pada bulan sebelumnya kepada 148.7 mata.

Menurut Jabatan Perangkaan, selaras dengan prestasi eksport, indeks nilai seunit import turut mencatatkan kejatuhan marginal 0.01 peratus kepada 133.2 mata. 

Sementara itu, terma perdagangan Malaysia terus menunjukkan prestasi negatif dengan penurunan 0.7 peratus bulan ke bulan kepada 111.6 mata pada November lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport mengalami kejatuhan 0.7 peratus pada November 2022 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh penurunan indeks minyak serta lemak binatang dan    sayur-sayuran (-6.8 peratus), bahan mentah tidak boleh dimakan (-1.5 peratus) dan minyak galian (-0.6 peratus).

“Pada masa yang sama, indeks volum eksport turut merosot 0.4 peratus pada bulan yang sama, selaras dengan kejatuhan indeks minyak galian (-23.6 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (-3.1 peratus).

“Indeks volum eksport pelarasan bermusim meningkat 8.8 peratus daripada 153.3 mata kepada 166.8 mata.

“Berdasarkan perbandingan tahunan, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing berkembang 13.9 peratus dan 1.5 peratus,” katanya dalam kenyataan. 

Jelas Mohd. Uzir, indeks nilai seunit import menurun secara marginal 0.01 peratus pada November 2022 berbanding bulan sebelum, disokong oleh kejatuhan indeks alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-1.3 peratus), bahan mentah tidak boleh dimakan (-0.6 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (-0.2 peratus).

Katanya, indeks volum import pelarasan bermusim mengalami kemerosotan 5.2 peratus daripada 189.6 mata kepada 179.7 mata.

“Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing berkembang 9.2 peratus dan 5.8 peratus.

“Terma perdagangan Malaysia menunjukkan prestasi negatif 0.7 peratus bulan ke bulan kepada 111.6 mata pada November 2022, didorong oleh kemerosotan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (-6.5 peratus), minyak galian (-3.2 peratus) dan bahan mentah tidak boleh dimakan (-0.9 peratus). 

“Terma perdagangan Malaysia kekal positif dengan kenaikan 4.3 peratus tahun ke tahun daripada 107.0 mata pada November tahun lalu,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles