SELAYANG: – Haqiem Stopa atau nama sebenarnya Muhammad Sadzri Hakim Jaafar, 22, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyimpan gambar dan video lucah bekas kekasihnya dalam dua telefon bimbit, minggu lalu.
Dia yang dikenali sebagai Ikon permotoran itu didakwa menyimpan video lucah gadis berusia 21 tahun itu dalam galeri telefon bimbit jenama Iphone 13 Pro Max dan Iphone 7 Plus miliknya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 4.30 petang 9 Disember lalu di sebuah rumah di Rawang di sini.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi mencadangkan jumlah jaminan RM4,000.
Bagaimanapun Haqiem Stopa yang diwakili peguam Mohd. Faiz Fahmy Abdul Razak daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jumlah ikat jamin dikurangkan dengan alasan tertuduh menanggung ibu dan bapa yang uzur.
Majistret Nur Hafizah Rajuni kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan pada 23 Februari depan.
Sabtu lalu, media melaporkan seorang pemuda yang juga dikenali sebagai ikon permotoran ditahan kerana disyaki mengugut menyebarkan gambar lucah bekas kekasihnya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Ariffin Mohamad Nasir yang mengesahkan perkara itu berkata, suspek ditahan untuk siasatan selepas polis menerima laporan dibuat mangsa.