Hapuskan Kegilaan Belia Terhadap ‘Magic Mushroom’, Ia Merupakan Ganja Sintetik

KUALA LUMPUR: Dadah dalam bentuk cecair rokok elektronik atau vape yang digelar sebagai magic mushroom, didapati dihasilkan daripada ganja sintetik.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh, berkata dapatan itu susulan hasil ujian terhadap 50 sampel melibatkan kumpulan penagih yang mendakwa menggunakan magic mushroom pada tahun lalu.

Beliau berkata, terma magic mushroom digunakan secara meluas bagi dadah sintetik itu sehinggakan ia menjadi kegilaan golongan belia.

“Daripada data yang kita dapat dan hasil ujian yang diperoleh daripada Jabatan Kimia, ia sebenarnya bukan magic mushroom sebaliknya adalah ganja sintetik.

“Ia merupakan ganja sintetik yang dimasukkan dalam cecair dan digabungkan bagi digunakan menerusi vape (rokok elektronik).

“Magic mushroom di luar sana adalah satu terminologi yang dipakai secara meluas, tetapi apa yang kita peroleh daripada ujian dijalankan adalah dadah sintetik sebenarnya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Amanat Ketua Pengarah dan Perhimpunan Bulanan AADK 2025, semalam.

Ruslin berkata, dadah sintetik merupakan ancaman kepada orang ramai dan satu cabaran bagi AADK dalam usaha membanteras gejala penyalahgunaan dadah.

Katanya, penggunaan dadah sintetik dalam kalangan belia termasuk remaja juga semakin serius di mana bahan itu sering digunakan untuk berpesta.

Ruslin berkata, pindaan terbaharu membabitkan Akta Dadah Berbahaya (ADB) tahun lalu, sedikit sebanyak memberi ruang lebih besar kepada AADK dalam usaha membanteras isu penagihan dadah.

“Kalau sebelum ini kita tengok macam penagihan gam dan ketum, kita tidak boleh buat pemulihan.

“Tetapi di bawah pindaan akta dan dikuatkuasakan nanti, mereka yang menagih ketum juga boleh ditempatkan di pusat pemulihan,” katanya. – BH

BBerkaitan

Latest articles