Isu keterjaminan makanan dalam negara ini sebenarnya tidak hanya terbatas kepada isu beras tempatan tetapi ia turut melibatkan keperluan asas lain seperti minyak masak, gula, telur dan bekalan ayam mentah.
Meskipun ketika ini isu beras tempatan menjadi hangat sehingga membuka banyak ruang kritikan kepada kerajaan namun ia tidak menggambarkan keadaan sebenar permasalahan yang sedang berlaku.
Hakikatnya isu kerterjaminan makanan sentiasa membara dalam sektor industri makanan dan ia hanya menunggu masa untuk menjadi polemik yang membebankan rakyat dan kerajaan.
Isu ini bukan lagi isu siapa menjadi kerajaan tetapi ia adalah isu bersama antara rakyat dan kerajaan.
Dalam hal ini rakyat khususnya pengguna perlu dididik mengenai pasaran dan memahami isu bekalan makanan sudut berdasarkan fakta dan bukan memahami secara politik.
Dengan pengetahuan yang lebih baik rakyat akan mudah memahami isu berbangkit dan boleh menyalurkan kritikan kepada kerajaan secara lebih berkesan tanpa secara keterlaluan diselubungi emosi.
Dalam masa sama kerajaan juga tidak boleh mengambil sikap sambil lewat kerana Kefahaman rakyat yang lebih dalam situasi seperti yang berlaku ketika ini.
Lazimnya rakyat selaku pengguna memikirkan mereka adalah satu satunya mangsa apabila krisis ini berlaku.
Namun di pihak kerajaan juga isu seperti ini menjadi beban tekanan lebih lebih lagi jika ia dipolitikkan oleh pihak pihak tertentu yang hanya mahu mengambil kesempatan memarakkan lagi kemarahan rakyat.
Sebagai kerajaan mana mana Menteri yang bertanggungjawab dan pasukannya tidak boleh hanya memberi tumpuan terhadap kepentingan pengguna secara sepihak.
Tanggungjawab mengurus bekalan makanan bagi kepentingan rakyat atau pengguna, kepentingan petani, pengilang atau pemain industri turut menjadi faktor dalam menentukan apa apa sahaja keputusan kerajaan.
Dalam membuat sesuatu keputusan kerajaan perlu mengambil kira keseimbangan semua faktor ini bagi memastikan keseluruhan industri dapat bertahan menghadapi krisis yang sedang meruncing.
Intipati dari teks ucapan sesi penerangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu boleh dianggap sebagai satu Interpretasi bahawa sektor keterjaminan makanan ini sedang dikawal oleh tangan tangan tertentu yang amat berkuasa mempengaruhi pasaran, stok simpanan dan harga beras dalam pasaran.
Meskipun tidak menyatakan perkara ini dengan jelas namun boleh ditafsirkan daripada ucapan Mohamad Sabu yang memberitahu harga belian padi yang rendah pada RM1,250 per tan metrik bukanlah diputuskan oleh kerajaan tetapi ia adalah keputusan pengilang sendiri.
Ini menunjukkan keputusan untuk menentukan turun naik harga belian, harga beras dalam pasaran bukanlah terletak di tangan kerajaan semata mata namun kerajaan sebenarnya hanya mampu membuat kawalan berdasarkan faktor faktor pengguna, petani dan pengilang.
Alasannya, seperti yang dinyatakan di dalam ucapan berkenaan, adalah pengilang perlu mengurangkan kos operasi mereka dan ia dibuat susulan daripada kerajaan mengumumkan empat langkah intervensi tambahan pada 2 Oktober 2023.
Keputusan kerajaan Yang sebelum itu bersetuju menaikkan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 kepada RM500 selain Bernas sendiri bersetuju untuk untuk berkongsi 30 peratus keuntungan bersih pengimportan hanya mampu mengimbangi sedikit keresahan di kalangan petani.
Ia sama sekali tidak menyelesaikan keseluruhan masalah dihadapi petani kerana mereka dalam masa yang sama menghadapi masalah kenaikan harga berkalan benih lebih 20 peratus.
Masalah yang dihadapi petani ini adalah masalah berlarutan selam puluhan tahun tetapi tiada sebarang solusi yang mampu menyelesaikannya untuk tempoh jangka panjang.
Nah ini masalah pokok, kerajaan boleh mengumumkan pelbagai skim seperti Smart SBB, projek pengairan bernilai RM3 bilion bagi menjayakan penanaman padi lima musim untuk tempoh 2 tahun atau projek penanaman padi berteknologi tinggi namun persoalnya, siapa yang lebih berkuasa ke atas pasaran, siapa yang lebih berkuasa mengawal stok imbalan makanan?
Sedikit demi sedikit ia mula terjawab apabila kerajaan menubuhkan Task Force yang melancarkan operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi ini melibatkan pemeriksaan menyeluruh ke atas semua rantaian industri termasuk semua kilang beras dan stor pemberong beras.
Dalam operasi ini sampel beras akan diambil di kilang, gudang pemborong dan juga pasaraya untuk dibuat analisis kimia oleh MARDI.
Kejayaan terbaru operasi pada 10 Oktober lalu, sebuah kilang beras di Kedah disita, selepas disyaki menyorok beras putih tempatan berjumlah 180 tan metrik dianggarkan bernilai RM405,000, menerusi Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT).
Secara tidak langsung ia mendedahkan betapa pihak yang dinamakan sebagai “Kartel beras” ini wujud dan sentiasa memanipulasi harga, imbalan stok beras selain tidak sama sekali mempedulikan keresahan rakyat.
Inilah sebenarnya masalah pokok yang perlu dibanteras habis habisan bagi memastikan apa segala hasrat dan program kerajaan boleh mencapai tahap yang maksimum.
Sungguhpun begitu ia memerlukan keazaman yang kuat daripada mana mana parti politik yang mengusai kerajaan.
Jika tidak rakyat akan disajikan sekali lagi dengan tindakan sementara bersifat populis tanpa ada niat untuk menyelsaikan masalah secara keseluruhan masalah selain program dan skim skim yang dilaksanakan kerajaan hanya akan menjadi satu lagi kegagalan.
NT – Penulis Merupakan Bekas Setiausaha Akhbar kepada Seorang Menteri Besar, dan kini merupakan penulis bebas.