Hanya Kerana Lambat Keluar Selepas Beli Nasi Ayam Punca Isteri Ditampar

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang menampar isterinya di hadapan orang ramai dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Warisan, Sepang, minggu lalu telah direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, berkata suspek berusia 50-an itu ditahan di hadapan sebuah klinik di Kota Warisan sekitar jam 10 pagi, Sabtu.

“Mahkamah Majistret Telok Datok telah membenarkan suspek direman selama tiga hari bermula hari ini (Ahad).

“Suspek dipercayai menghilangkan diri selepas kejadian dan tidur di dalam keretanya sebelum berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut Norhizam, kejadian itu dipercayai berpunca daripada kelewatan isteri suspek keluar dari pusat beli-belah selepas membeli nasi ayam.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Insiden tersebut menjadi perhatian ramai selepas aksi lelaki itu menampar isterinya dirakam secara tidak sengaja dalam satu video siaran langsung yang kemudian tular di media sosial.

Dalam rakaman berdurasi 29 saat itu, wanita berkenaan dilihat keluar dari pusat beli-belah sebelum didatangi suspek yang sedang memimpin tangan seorang kanak-kanak.

Tanpa sebarang amaran, suspek tiba-tiba menampar isterinya sebelum berkata sesuatu, lalu kedua-duanya dilihat berjalan keluar dari premis berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles