Hanya Kerana Korek Hidung Punca Lelaki Tampar Remaja Ketika Beli Roti

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang dipercayai menampar seorang pelajar tingkatan satu sehingga terjatuh dalam kejadian di Stesen LRT Pasar Seni, Selasa lalu, akhirnya diberkas polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sazalee Adam, berkata suspek berusia 48 tahun itu ditahan sekitar jam 3.40 petang di tepi Jalan Masjid India oleh sepasukan anggota polis.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit mengaku bertindak menampar mangsa kerana berang dengan tindakan remaja itu yang didakwa mengorek hidung ketika berada berhampiran dengannya.

Dalam kejadian tersebut, mangsa berusia 13 tahun dilaporkan berada di premis makanan berkenaan untuk membeli roti sebelum tiba-tiba diserang tanpa amaran.

Remaja itu, dikenali sebagai Farhan Nasir Muhammad Isa, memaklumkan dia terus menuju ke kaunter selepas mendapati tiada pelanggan beratur, namun secara tiba-tiba ditampar oleh suspek hingga jatuh ke lantai.

Polis turut merampas pakaian yang dipercayai dipakai suspek ketika kejadian, termasuk kemeja putih dan seluar panjang hitam.

Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes narkotik.

Kes ini kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan, Seksyen 506 atas kesalahan ugutan jenayah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 susulan penularan video kejadian di media sosial.

Pihak polis dalam masa sama mengingatkan orang ramai agar tidak bertindak di luar kawalan sehingga boleh mencederakan individu lain, walaupun berpunca daripada perkara yang dianggap remeh.

BBerkaitan

Latest articles