Hannah Tegas Pelihara Kampung Melayu Di Wilayah Persekutuan, Pembangunan Tidak Boleh Hakis Warisan

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, menegaskan komitmennya untuk memastikan kampung-kampung tradisi orang Melayu di Wilayah Persekutuan terus dipelihara dan tidak terpinggir di sebalik pembangunan pesat bandar.

Menurut beliau, usaha melindungi penempatan bersejarah itu perlu berjalan seiring dengan kemajuan, agar identiti dan warisan tempatan kekal terpelihara untuk generasi akan datang.

Beliau berkata, pendirian tersebut bukan baharu dan boleh diteliti menerusi rekod perbahasan hansard ketika memegang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Parlimen Segambut di Dewan Rakyat.

Hannah menegaskan, walaupun pembangunan komersial mudah diwujudkan, kewujudan kampung tradisi Melayu semakin terhad dan tidak boleh digantikan begitu sahaja.

“Kepentingan kampung tradisi orang Melayu di Wilayah Persekutuan perlu dipelihara kerana nilai sejarah, budaya dan identiti yang terkandung di dalamnya tidak mampu diganti dengan bangunan komersial semata-mata,” katanya pada sidang media di Menara Seri Wilayah hari ini.

Terdahulu, Hannah berkongsi detik hari pertama memulakan tugas sebagai menteri apabila mengimbas kad perakam waktu tepat jam 8 pagi, bersama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Lo Su Fui.

Pelantikan itu turut mencatat sejarah apabila beliau menjadi pemimpin berbangsa Cina dan bukan Islam pertama menerajui portfolio Wilayah Persekutuan sejak jawatan tersebut diwujudkan pada 1976.

Mengulas lanjut, Hannah menegaskan tumpuannya kekal kepada dasar, pelaksanaan serta hasil kerja, bukannya latar belakang kaum atau agama.

Katanya, pemeliharaan kampung tradisi Melayu perlu dijadikan sebahagian daripada perancangan pembangunan bandar bagi mengekalkan keseimbangan antara kemajuan dan pemuliharaan warisan.

“Saya bekerja berlandaskan dasar dan tanggungjawab. Rekod perkhidmatan akan menjadi bukti komitmen saya untuk berkhidmat kepada rakyat,” jelas Ahli Parlimen Segambut itu.

Dalam pada itu, Hannah memberi jaminan semua perancangan yang telah dirangka oleh bekas menteri Wilayah Persekutuan, Zaliha Mustafa, akan diteruskan.

Beliau turut memaklumkan telah mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen Titiwangsa, Johari Ghani, bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan dan kebajikan di Wilayah Persekutuan.

Untuk rekod, Hannah mengangkat sumpah jawatan menteri pada Rabu lalu bersama enam menteri dan lapan timbalan menteri lain di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, susulan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI.

BBerkaitan

Latest articles