KUALA LUMPUR: Tiada rayuan, tiada rundingan.
Datuk Seri Hamzah Zainudin memilih untuk berundurselepas dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), sekali gus menamatkan kedudukannya sebagai orang nombor dua parti.
Ahli Parlimen Larut itu menegaskan beliau tidak berhasrat untuk mencabar keputusan berkenaan, walaupun Perlembagaan parti membuka ruang rayuan dalam tempoh 14 hari.
Menurut Hamzah, keputusan tersebut dibuat atas dasar prinsip perjuangan yang menuntut pengorbanan.
“Semata-mata kerana perjuangan. Kalau saya tidak lagi diperlukan parti, maka selamat tinggal BERSATU,” katanya ketika berucap dalam taklimat hala tuju dan reset politik di ibu negara, petang tadi.
Pemecatan itu bukan sahaja menyaksikan beliau tersingkir sebagai Timbalan Presiden, malah dipercayai memberi kesan kepada blok pembangkang di Parlimen memandangkan beliau juga memegang jawatan Ketua Pembangkang.
Tindakan drastik parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut menyaksikan seramai 16 lagi ahli dipecat, termasuk pemimpin kanan dan wakil rakyat.
Antara yang terlibat ialah:
• Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad
• Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan
• Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob
Turut menerima nasib sama ialah:
• ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin
• ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub
• Setiausaha BERSATU Sabah merangkap Ketua BERSATU Libaran, Yunus Nurdin
Beberapa pemimpin peringkat bahagian dan sayap turut disingkirkan, termasuk Ketua Srikandi Muda BERSATU Sabah, Nabila Norsahar serta Ketua Penerangan BERSATU Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim.
Menurut kenyataan parti sebelum ini, kesemua mereka dikenakan tindakan kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU.










