SEREMBAN: Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan pembahagian kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai permulaan kepada satu “jajaran baharu” politik yang berpotensi membentuk landskap politik negara pada masa hadapan.
Menurut beliau, pengumuman 25 calon oleh Barisan Nasional (BN) semalam, diikuti persetujuan Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding di baki 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), mencerminkan satu pendekatan politik baharu berasaskan kerjasama strategik.
“Kerusi Negeri Sembilan ada 36. Dia (BN) umum 25 kerusi, dan tadi sahabat saya, Presiden Gerakan, telah memaklumkan kita akan umum 11 kerusi. Apa maknanya? Maknanya kita bersetuju untuk melihat satu jajaran baharu struktur politik di Negeri Sembilan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan di Kompleks PAS Negeri Sembilan (KOMPAS), Kampung Ismail, Ampangan, malam tadi.
Hamzah berkata, pembahagian kerusi itu membuktikan landskap politik negara kini semakin matang dan tidak lagi bergantung kepada dominasi mutlak sesebuah parti politik.
Sebaliknya, katanya, kerjasama antara parti yang berteraskan persefahaman dan matlamat bersama lebih penting bagi mewujudkan pentadbiran yang stabil serta mengutamakan kepentingan rakyat.
Beliau turut menggesa pengundi Negeri Sembilan melihat perkembangan itu sebagai satu tawaran kepimpinan yang lebih seimbang, inklusif dan mampu membawa kestabilan politik.
“Yakinlah dan percayalah bahawa pimpinan yang ada pada malam ini ialah mereka yang bertanggungjawab memastikan jajaran baharu ini dapat direalisasikan demi kepentingan rakyat di seluruh negara. Semuanya bermula dari Negeri Sembilan,” katanya.
Menurut Hamzah, sekiranya pendekatan politik baharu itu berjaya diterjemahkan melalui kemenangan pada PRN Negeri Sembilan, model kerjasama berkenaan berpotensi diperluaskan ke negeri-negeri lain sebagai formula baharu dalam membentuk pentadbiran yang lebih kukuh demi masa depan rakyat Malaysia.










