KUALA LUMPUR: Suasana politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin hangat apabila Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, secara terbuka mengisytiharkan dirinya kini penentang utama kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kenyataan tegas itu hadir sehari selepas beliau dipecat daripada parti yang pernah diwakilinya sebagai Timbalan Presiden.
Hamzah menegaskan beliau mengambil pendirian tersebut selepas mendakwa tidak pernah dimaklumkan sebab sebenar pemecatannya daripada parti.
Menurutnya, sehingga kini beliau masih tidak memahami asas keputusan yang dibuat terhadapnya, termasuk dakwaan bahawa beliau gagal mengawal sesuatu perkara yang menurutnya tidak pernah diketahuinya.
“Saya sendiri tidak tahu apa yang berlaku dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT). Saya juga tidak tahu kenapa saya dipecat,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan dakwaan terhadapnya dengan nada sinis, menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak masuk akal.
Hamzah yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Presiden Bersatu berkata, dalam PAT beliau bangkit mempertahankan presiden sebagai penyokong nombor satu.
Namun, keadaan berubah sama sekali selepas pemecatan itu.
“Hari ini saya nyatakan secara terbuka, saya kini penentang nombor satu kepada presiden parti,” tegasnya.
Kenyataan keras itu dipercayai merujuk kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut menyuarakan pendirian tersebut ketika berucap dalam program ‘Reset’ yang berlangsung di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), petang tadi.










