KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) hari ini mendakwa gabungan itu menerima Surat Akuan Berkanun (SD) daripada seorang lagi Ahli Dewan Rakyat yang menyatakan kepercayaan kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan perkembangan tersebut dalam satu kenyataan, hari ini.
“Surat Akuan Berkanun ini sudah dihantar ke Istana Negara, pagi ini,” katanya.
Untuk rekod, Hamzah dalam satu kenyataan semalam berkata, PN sudah mengemukakan SD daripada Ahli Dewan Rakyat yang memberi kepercayaan kepada Muhyiddin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.
Katanya, bilangan dihantar adalah melebihi 112 SD, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan itu turut disokong Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa PN memperoleh jumlah sokongan Ahli Parlimen melebihi majoriti yang ditetapkan, selain memberitahu sedang menunggu jemputan daripada Istana Negara pada bila-bila masa.