KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan Datuk Seri Hamzah Zainudin telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang, sekali gus menjadikan kedudukan itu kini kosong.
Tegas beliau, tindakan susulan telah diambil dengan mengarahkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menghantar surat rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi memaklumkan perkara tersebut.
Menurutnya, surat berkenaan dijangka dihantar pada Isnin berikutan hari ini merupakan cuti.
“Sebaik sahaja pemakluman rasmi dibuat, maka secara automatik Hamzah bukan lagi Ketua Pembangkang. Perkara ini tidak boleh dipertikaikan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi media sosial.
Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas menegaskan, PN tidak akan membiarkan kekosongan itu berlarutan dan akan menamakan pengganti sebelum sidang Parlimen akan datang.
Katanya, kedudukan Ketua Pembangkang perlu diisi segera bagi memastikan fungsi semak dan imbang berjalan dengan berkesan.
Mengulas tuntutan Pas Johor yang mahu jawatan itu diserahkan kepada wakil parti berkenaan, beliau berkata semua pandangan akan diteliti, namun keputusan muktamad akan dibuat secara kolektif oleh kepimpinan tertinggi PN.
“Setiap pihak ada pandangan masing-masing, tetapi keputusan mesti berpaksikan kepentingan gabungan,” jelasnya.
Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara terbuka mendesak PN menamakan Ketua Pembangkang baharu tanpa berlengah.
Beliau menegaskan, kedudukan tersebut tidak lagi wajar disandang Hamzah selepas dipecat daripada parti, malah menyifatkan isu itu melibatkan maruah dan kredibiliti gabungan berkenaan.










