Hampir Separuh Penumpang Pesawat Dari China Ke Milan Dijangkiti COVID-19

Pihak berkuasa kesihatan Itali memulakan ujian saringan COVID-19 terhadap semua pelancong tiba dari China, selepas hampir separuh daripada penumpang dua pesawat yang mendarat di Milan positif wabak itu.

Kementerian Kesihatan negara itu turut dilapor melakukan ujian penjujukan untuk mengesan sama ada terdapat varian baharu.

Sekiranya varian baharu dikesan, pihak berkuasa mungkin akan mengenakan sekatan yang lebih ketat ke atas pelancong dari negara itu.

China merekod lonjakan kes wabak itu sejak kerajaannya mengabaikan polisi ketat sifar COVID-19.

Ketidakpastian mengenai skala penyebaran COVID-19 telah mendorong banyak negara termasuk Amerika Syarikat (AS) mempertimbang sekatan baharu ke atas kemasukan pelancong China.

Kerajaan Itali memperinci jumlah penumpang di Milan yang dijangkiti dan membincangkannya dalam mesyuarat kabinet semalam.

Kebanyakan penumpang yang positif tidak menunjukkan sebarang simptom, namun media tempatan melaporkan pengamal kesihatan bimbang mengenai varian baharu COVID-19 yang muncul di China.

Itali adalah negara pertama di Eropah yang dilanda COVID-19 pada awal tahun 2020.

Walau kadar penumpang dijangkiti virus itu tinggi dan menyebabkan pihak berkuasa berjaga-jaga, satu faktor yang memihak kepada Itali ialah kadar vaksinasinya yang meluas.

Menurut, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terdapat lebih 80 peratus penduduk sudah lengkap vaksinasi dan ramai yang mengambil vaksin penggalak. – AGENSI

BBerkaitan

Latest articles