KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan seorang lelaki bersama rampasan lebih 24 kilogram pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM1 juta dalam dua serbuan berasingan sekitar Lembah Klang.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata suspek berusia 29 tahun itu ditahan pada jam 6.15 petang, Rabu lalu di lobi sebuah residensi di KL South.
“Hasil pemeriksaan menemui sebuah beg plastik berisi dua ketulan mampat disyaki heroin base seberat 141.5 gram. Susulan tangkapan itu, pemeriksaan ke atas sebuah kereta Toyota Vios yang diletakkan di kawasan perumahan Taman Segar, Cheras menemukan lebih banyak dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam bonet kereta berkenaan, polis menjumpai seguni dan sebuah beg kain berisi lapan ketulan mampat heroin base seberat 3 kilogram serta 20 bungkusan teh cina berisi syabu seberat 20.5 kilogram.
“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM974,000, dengan anggaran mampu menampung penggunaan seramai 420,400 penagih pada satu masa,” jelas Fadil.
Siasatan awal mendapati suspek menggunakan kereta berkenaan sebagai stor simpanan sebelum mengedar dadah kepada pelanggan.
Sindiket dipercayai mula aktif sejak Oktober 2024 dengan heroin base yang dirampas akan diproses sebelum diedarkan kepada penagih.
Tambahnya, ujian air kencing suspek didapati negatif dadah, namun semakan rekod lampau mendapati lelaki itu pernah dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Suspek kini direman tujuh hari hingga 27 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup.