Hampir 12 Jam Padam Kebakaran

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil masa hampir 12 jam memadamkan kebakaran belukar di kawasan seluas kira-kira 6.8 hektar di Taman Muzaffar Height, Ayer Keroh, Melaka, semalam.

Komander Operasi Penguasa Kanan Bomba II Mohd Khairulnizam Mohamad Anuar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.50 petang dan 29 anggota bomba dari empat balai bomba dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, didapati berlaku kebakaran belukar dengan anggaran keluasan tiga ekar (1.2 hektar) terbahagi kepada tiga kawasan iaitu Kawasan A di puncak bukit sebelah Condominium Muzaffar Height (Kawasan B) dan pencawang Tenaga Nasional Berhad (Kawasan C).

“Jentera dari balai bomba Ayer Keroh melakukan pemadaman dari atas puncak bukit menggunakan dua aliran hos sepanjang 500 kaki (152 meter) dari tangki air jentera dan dibantu jentera balai bomba Tangga Batu,” katanya.

Beliau berkata, bagi kawasan B dan C, bomba mengawal dan memadam api menggunakan dua aliran hos sepanjang 91 meter

“Faktor angin kuat, cuaca kering dan panas menjadi antara punca api merebak dengan pantas dan bomba terpaksa mengambil masa yang lama untuk memadam kebakaran sehingga ia merebak kepada seluas 17 ekar (6.8 hektar)

“Dalam operasi ini, pihak Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) juga memberi bantuan sumber air dengan membuka pintu tangki air yang terdekat sehingga operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 5.28 pagi tadi,” katanya.

Mohd Khairulnizam berkata tiada mangsa terlibat dalam kebakaran tersebut dan operasi pemadaman itu juga dibantu 22 angota dari agensi lain iaitu Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Perhutanan Negeri Melaka dan SAMB.

BBerkaitan

Latest articles