Halau Dominic, Pemimpin PAS Jelas ‘Mungkar Akhlak’

KUALA LUMPUR: Adalah menghairankan bagaimana pimpinan tertinggi PAS, terutamanya Tan Sri Abdul Hadi Awang mampu membiarkan sahaja rakan gabungan politik mereka dihalau dalam sebuah ceramah di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Menegaskan ia sepatutnya tidak berlaku, Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali kesal dengan cara parti lamanya melayan Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.

“Menariknya, kemungkaran akhlak ini berlaku di hadapan mata Presiden PAS (Tan Sri Abdul Hadi Awang) dan Naib Presiden (Datuk Idris Ahamad) sendiri namun ia tidak dicegah terus oleh kedua-dua pimpinan tertinggi PAS.

“Insiden itu pula melibatkan rakan gabungan politik Perikatan Nasional dan melibatkan pimpinan paling tinggi parti iaitu Presiden parti rakan kerjasama politik sendiri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Lebih pelik, Mohd. Khairuddin mempersoal tindakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan Yang mengambil masa beberapa hari untuk mengeluarkan kenyataan meminta maaf kepada Dominic serta menegur pimpinan partinya di Pulau Pinang.

Ini secara tidak langsung memberi gambaran kurang baik terhadap PAS, katanya lagi.

“Islam akan dipandang tidak berakhlak dan tidak beradab dalam menerima tetamu apatah lagi tetamu tidak diundang itu adalah rakan kerjasama politik kerana kemungkaran akhlak dilakukan oleh parti yang membawa jenama parti Islam sedangkan Islam tidak diwakili oleh mana-mana parti pun.

“Inilah bahayanya apabila parti politik dijenamakan dengan Islam tetapi gagal mempamerkan akhlak Islam.

“Pamerkan politik dan akhlak Islam dalam berpolitik apatah lagi apabila membawa nama Islam agar Islam tidak terfitnah,” ujarnya.

Beberapa hari lalu, Dominic dihalau dari Ceramah Mega PN Best di Tasek Gelugor Dominic, dan tidak dibenarkan sepentas dengan pemimpin lain PAS yang hadir.

Kononnya atas alasan Dominic tidak diundang ke ceramah berkenaan.

Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim dikatakan individu bertanggungjawab menghalang pemimpin Gerakan itu naik ke pentas.

BBerkaitan

Latest articles