Halalkah Makanan Di Restoran Yang Tertera “No Pork No Lard”?

KUALA LUMPUR: Hari ini sudah banyak kedai makan atau restoran yang menyajikan menu-menu antarabangsa dari serata dunia.

Ramai masyarakat, terutama penggemar makanan mahu mengambil peluang mencuba kepelbagaian jenis hidangan tersebut, apatah lagi bagi menu negara-negara luar yang mungkin agak sukar untuk kita pergi sendiri ke sana.

Bagaimanapun umat Islam tetap diwajibkan untuk mencari sumber makanan yang halal, dan isu ini tidak boleh dipandang ringan, yang mana ia bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:

“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu” (Surah Al-Baqarah 2:168)

Pasti ramai yang menjumpai premis makanan yang memaparkan notis ‘No Pork No Lard’.

Ada dalam kalangan kita tidak kisah untuk makan di premis berkenaan atas alasan asalkan tiada makanan yang haram seperti babi atau alkohol disediakan – maka dibolehkan.

Ada juga yang ragu-ragu, katanya mahu ada logo atau sijil Halal dan Jakim barulah yakin untuk menjamu selera.

Persoalannya, bolehkah seorang Muslim makan di kedai berkenaan dengan hanya berpegang dengan kenyataan ‘No Pork No Lard’?

Untuk mencari kesahihan dan kebenaran, kami kongsikan pandangan dari bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di dalam catatannya, Maktabahalbakri.

“Perkataan ‘pork’ berasal daripada bahasa Inggeris yang bermaksud daging babi yang dijadikan sebagai makanan. Manakala perkataan ‘lard’ pula bermaksud lemak babi yang cair, digunakan dalam masakan.

“Justeru, ‘No Pork No Lard’ bermaksud premis atau restoran tersebut tidak menghidangkan daging atau lemak babi. Secara umumnya, daging yang dihidangkan adalah berasaskan makanan laut, daging lembu, ayam, dan daging-daging yang diproses.

“Sekalipun umumnya hukum asal bagi makanan dan minuman adalah diharuskan dan halal untuk dimakan melainkan adanya dalil yang menunjukkan sebaliknya.

“Akan tetapi perkara yang perlu diperhalusi di sini adalah apabila sesuatu premis terutamanya milik bukan Islam menyatakan bahawa mereka tidak menghidangkan daging atau lemak babi, ini bukanlah bermaksud makanan yang disediakan oleh restoran mereka dijamin 100 peratus halal,” jelasnya.

Tambah Dr Zulkifli, walaupun tiada babi atau lemak babi, tidak semestinya bahan-bahan lain yang digunakan seperti ayam, daging, bahan-bahan masakan dan seumpamanya adalah halal, apatah lagi jika melibatkan makanan bersumberkan daging yang melibatkan sembelihan.

“Dalam erti kata lain, tidak halal suatu sembelihan itu melainkan jika kita mengetahui bahawa ia disembelih sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak.

“Imam al-Nawawi ada menyatakan bahawa jika timbul suatu syak atau keraguan pada sembelihan yang menghalalkan haiwan itu, maka ia tidak halal untuk dimakan kerana hukum asalnya adalah haram dan perkara ini tidak ada khilaf padanya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/78).

“Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa orang Islam tidak boleh dan haram memakan makanan (terutamanya yang berasaskan daging) di restoran/premis bukan Islam yang hanya mendakwa ‘No Pork No Lard’, sehinggalah diyakini bahawa makanan tersebut halal dan tidak mengandungi bahan-bahan bernajis, yang tidak dibenarkan oleh syarak seperti wain, arak, dan seumpamanya.

“Begitu juga alat-alat perkakas memasak juga adalah bersih dan tidak bernajis. Inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan sebagai mengambil langkah berhati-hati (ihtiyat),” jelasnya lagi.

Tambah beliau, perbuatan meninggalkan kemahuan makan di restoran yang tidak dapat dipastikan kehalalannya juga bertepatan dengan saranan agama untuk meninggalkan dan menjauhi perkara-perkara syubhah (ragu-ragu).

“Bahkan meninggalkan perkara yang syubhah dan meragukan itu adalah lebih dituntut dalam Islam dan lebih menenangkan jiwa,” jelasnya.

Justeru, sama-samalah kita berusaha untuk mencari sumber makanan yang terjamin status halalnya.

BBerkaitan

Latest articles