Hala Tuju UMNO Belum Muktamad, Keputusan Besar Ditentukan MKT, PAU

PONTIAN: Sebarang cadangan atau ketetapan berkaitan hala tuju UMNO, termasuk isu kerjasama politik, tidak boleh diputuskan secara terburu-buru dan perlu dibawa ke peringkat tertinggi parti.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan, semua pandangan yang dibangkitkan dalam Konvensyen Pemuda UMNO hari ini hanya boleh dipertimbangkan secara rasmi menerusi Mesyuarat MKT serta Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang dijadual berlangsung pertengahan Januari ini.

Menurut beliau, MKT yang dianggotai 55 ahli merupakan platform utama untuk membuat keputusan besar parti, termasuk sebarang cadangan menghidupkan semula kerjasama UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN).

“Apa jua pandangan daripada Pemuda perlu dibawa ke MKT dan kemudiannya ke Perhimpunan Agung. Sama ada UMNO mahu mengekalkan pendirian sedia ada atau mengubah haluan, semuanya akan ditentukan melalui saluran parti yang sah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Majlis Cakna Ilmu Tanah: Perkongsian UTM & Komuniti Desa 2026 di Kampung Parit Dato’ Onn, Api-Api, hari ini.

Terdahulu, Pemuda UMNO mengadakan konvensyen khas bertemakan ‘Hala Tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan’ di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), yang menjadi medan menyuarakan pandangan terhadap kedudukan parti dalam Kerajaan Madani.

Konvensyen itu turut mencetuskan perdebatan apabila Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Salleh secara terbuka menggesa UMNO menarik sokongan daripada kerajaan susulan ketidakpuasan hati terhadap isu Titah Adendum membabitkan bekas Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak.

BBerkaitan

Latest articles