KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi (Bahagian Kuasa-Kuasa Khas) di sini hari ini menolak permohonan semakan kehakiman oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) Icon Residence Mont Kiara yang mencabar keabsahan pelantikan Badan Pengurusan (MC) untuk mengambil alih pengurusan kondominium itu, seperti yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Bangunan (COB).
Hakim, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menyatakan peranan pengurusan akan beralih sepenuhnya kepada Perbadanan Pengurusan, yang ditubuhkan menerusi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama pada 23 Disember 2023.
Menurutnya, Perbadanan Pengurusan kini bertanggungjawab sepenuhnya dalam aspek penyelenggaraan dan pengurusan kediaman mengikut Bab 3, Bahagian V Akta Pengurusan Strata 2013 (SMA 2013).
Mahkamah juga memerintahkan agar JMB segera memindahkan baki dana dalam akaun penyelenggaraan dan akaun dana simpanan kepada Perbadanan Pengurusan serta menyerahkan semua aset, liabiliti, dokumen, dan rekod yang berkaitan.
Selain itu, mahkamah menegaskan bahawa surat dari Pesuruhjaya Bangunan (COB) bertarikh 19 April 2024, yang sebelum ini mempertikai kesahan AGM dan Perbadanan Pengurusan, kini tidak lagi relevan selepas keputusan mahkamah ini.
Dengan keputusan ini, Perbadanan Pengurusan yang dilantik secara sah mempunyai kuasa penuh untuk mengurus dan menyelenggara Icon Residence Mont Kiara, selaras dengan peruntukan Akta Pengurusan Strata 2013.
Untuk rekod pada 13 April lalu, JMB Icon Residence memfailkan permohonan semakan kehakiman ke Mahkamah Tinggi selepas Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata menolak tuntutannya untuk membatalkan keputusan pemilihan jawatankuasa baharu pada 23 Dis tahun lalu.
Badan berkenaan diwakili peguam Choo Dee Wei manakala penduduk diwakili peguam New Sin Yew.