Hakim: Tiada Bukti Syed Saddiq Guna Dana Armada

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, daripada semua pertuduhan berkaitan penyelewengan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), selepas mendapati tiada bukti beliau menerima atau menyalahgunakan wang berjumlah RM1 juta yang dikeluarkan daripada akaun pergerakan itu.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin memutuskan keputusan itu selepas membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan.

Dalam penghakiman bertulis setebal 68 muka surat, Hakim Noorin menegaskan tiada keterangan menunjukkan Syed Saddiq menerima satu sen pun daripada pengeluaran tersebut.

“Keterangan dua saksi pendakwaan menunjukkan wang itu digunakan sepenuhnya untuk program dan aktiviti Armada. Maka, ia tidak memenuhi elemen actus reus di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mahkamah turut menyatakan bahawa arahan Syed Saddiq untuk mengeluarkan wang tidak boleh dianggap sebagai arahan untuk “melupuskan secara salah” dana tersebut seperti yang ditafsirkan di bawah undang-undang.

Panel hakim turut mengambil kira bahawa wang RM1 juta itu dibelanjakan dalam jumlah kurang daripada RM500,000 untuk setiap transaksi selari dengan Perkara 24.8 Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang hanya memerlukan kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi jika perbelanjaan melebihi jumlah tersebut.

Mahkamah turut menolak dakwaan bahawa bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali, bertindak tidak jujur apabila mengagihkan wang tersebut.

“Tindakan beliau mengagihkan wang adalah berdasarkan arahan, dan wang itu telah digunakan untuk aktiviti sah. Maka, tiada unsur pecah amanah,” kata hakim.

BBerkaitan

Latest articles