Hakim Ingatkan Tertuduh Bunuh Kekasih Hamil: “Hukuman Hanya Dua, Gantung Atau Penjara Puluhan Tahun”

KLANG: Seorang tertuduh kes bunuh diingatkan Mahkamah Tinggi agar tidak terburu-buru menukar pengakuan bersalah tanpa meneliti implikasinya yang amat berat.

Hakim Norliza Othman menasihatkan Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 22, supaya menunggu keputusan representasi yang dihantar peguamnya kepada pendakwaan sebelum membuat sebarang pengakuan.

“Sekarang kamu didakwa bawah Seksyen 302. Hukuman hanya dua, sama ada gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun. Jangan buat keputusan terburu-buru,” tegasnya ketika prosiding, hari ini.

Menurut beliau, sekiranya tiada pindaan pertuduhan, mahkamah tidak boleh menerima pengakuan salah kerana ia melibatkan hukuman mati mandatori.

Kes itu akan disebut semula pada 29 September ini bagi mengetahui keputusan representasi tertuduh.

Tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan kekal, iaitu bermula Februari hingga April 2026, dengan pihak pendakwaan dijangka memanggil sehingga 40 saksi.

Tertuduh didakwa membunuh seorang wanita berusia 21 tahun yang juga kekasihnya di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar, antara 22 hingga 23 Mei 2023.

Mangsa yang hamil dipercayai dipukul, ditoreh perut dan dibakar hidup-hidup selepas berlaku pertengkaran mengenai kehamilan luar nikah.

Sebelum ini, peguam bela memaklumkan anak guamnya berhasrat menukar pengakuan kepada bersalah, namun pendakwaan memohon masa untuk meneliti representasi yang dikemukakan.

BBerkaitan

Latest articles