KOTA KINABALU: Desas-desus mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semakin kuat apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dilihat memasuki Istana Seri Kinabalu pagi tadi bagi menghadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Difahamkan, kenderaan membawa Hajiji tiba di istana sekitar jam 8.50 pagi, dipercayai bagi memohon perkenan Tun Musa untuk membubarkan DUN Sabah ke-16 bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat.
Setakat tengah hari ini, tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat, namun sumber kerajaan negeri memaklumkan Hajiji dijangka akan membuat pengumuman penting dalam masa terdekat.
Mengikut peruntukan semasa, DUN Sabah ke-16 dijadual terbubar secara automatik pada 11 November depan, iaitu lima tahun selepas persidangan pertamanya diadakan pada 12 November 2020.
Jika pembubaran dibuat lebih awal, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka menetapkan tarikh PRN dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran seperti termaktub dalam undang-undang.
Jumaat lalu, Pejabat Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri memaklumkan pihaknya akan menjemput media untuk sidang akhbar khas mengenai pembubaran DUN “apabila tiba masanya”, namun setakat ini tiada jemputan rasmi diterima oleh media.
Dalam perkembangan politik Sabah yang semakin hangat menjelang PRN, dua parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) mengumumkan keluar daripada gabungan itu.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun, mengesahkan perkara tersebut dan berkata kedua-dua parti itu akan bertanding secara solo dalam PRN17.
Keputusan itu dibuat selepas STAR dan SAPP menolak untuk terikat dengan kuota pembahagian kerusi DUN antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) yang sedang dimuktamadkan.
“Mereka memilih untuk bergerak sendiri dan tidak lagi bersama GRS dalam PRN akan datang,” kata Masidi dalam satu kenyataan ringkas.
Sementara itu, Parti Warisan Sabah (Warisan) mengesahkan akan meletakkan calon di kesemua 73 kerusi DUN.
Langkah itu dijangka menjadikan PRN Sabah kali ini medan pertarungan sengit antara blok kerajaan GRS-PH dengan parti-parti pembangkang termasuk Warisan, STAR dan SAPP.