Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor hari ini mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah yang baru.
Seramai tiga timbalan dilantik bagi membantu Hajiji, iaitu Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Seri Jeffrey Kitingan dan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Joachim Gunsalam.
Secara terperinci Bung akan memegang portfolio sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah, sementara Kitingan dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Perikanan, manakala Joachim sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah.
Turut mengangkat sumpah hari ini ialah Timbalan Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Masidi Manjun yang dilantik sebagai Menteri Kerja Raya Sabah dan Setiausaha Agung PBS Jahid Jahim sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah.
Upacara mengangkat sumpah dilakukan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Juhar Mahiruddin di Istana Negeri di Kota Kinabalu.