PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bersama dua isterinya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan melibatkan projek perolehan tender pasukan keselamatan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan ia dilakukan sehingga jam 7 malam semalam.
Menurutnya, siasatan turut membawa kepada penahanan sepasang suami isteri yang disyaki bersekongkol melarikan wang berjumlah RM2.4 juta berkaitan kes berkenaan.
Terdahulu, kenderaan membawa Hafizuddeain bersama isterinya dilihat memasuki perkarangan ibu pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira jam 3 petang.
Difahamkan, SPRM akan mengemukakan permohonan reman terhadap Hafizuddeain serta kedua-dua isterinya di mahkamah hari ini bagi meneruskan siasatan.
Hafizuddeain sebelum ini dijadualkan memberi keterangan kepada SPRM pada 28 Disember lalu, namun tidak dapat hadir kerana dimasukkan ke hospital.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan pegawai terbabit telah diarahkan bercuti serta-merta sehingga siasatan ke atas kes itu selesai.
Semalam, SPRM turut menahan reman 17 pengarah syarikat yang dipercayai terlibat dalam rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat Malaysia, sekali gus mendedahkan skala siasatan yang semakin meluas.










