Hadir APEC Kerana Kepentingan Ekonomi, Negara, Bukan Sokong Israel – PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kehadirannya ke sidang Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Amerika Syarikat (AS) yang bermula 11 November ini.

Anwar berkata, persidangan itu juga penting kerana membabitkan keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan negara ini.

Malah selaku perdana menteri, beliau juga perlu menjaga hubungan diplomatik dan keamanan negara walaupun tidak berganjak mempertahankan keadilan buat Palestin.

Sehubungan itu, Anwar menggesa mana-mana pihak tidak mudah melabel dirinya sebagai pro-Israel hanya kerana hadir ke persidangan APEC, meskipun nenyedari ada yang tidak senang dengan tindakan sedemikian.

“APEC saya kata ok, saya bincang dan lihat pendirian negara semua. Setakat ini negara ASEAN semuanya akan hadir. Negara-negara APEC lain juga semua akan hadir.

“Adakah kita tidak bersetuju dengan pendirian Amerika Syarikat dalam isu ini (Israel) kerana keutamaan saya kena jaga hubungan diplomatik dan keamanan walaupun tidak berganjak dari sudut mempertahankan keadilan.

“Dan ini memutuskan saya untuk hadir di APEC yang dihadiri semua negara-negara Asia atas undangan Presiden AS Joe Bidan.

“Tentunya keputusan ini tidak menyenangkan sebahagian pihak tapi janganlah hukum saya sebagai pro Israel kerana hadir APEC kerana saya sebagai PM kena jaga kepentingan negara ini keselamatan dan ekonominya dan tentunya tidak berganjak nyata sikap saya,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Kementerian Kewangan, hari ini.

Semalam, Anwar memberitahu, Malaysia belum membuat keputusan sama ada akan menyertai sidang APEC, selain pertimbangan perlu dibuat kerana kebanyakan negara besar dunia akan menghadiri sidang yang akan berlangsung di San Francisco, California itu.

Malah Menteri Kewangan itu juga memaklumkan, Malaysia sedang berhubung dengan negara Asia lain termasuk China bagi mengetahui pendirian mereka sama ada mahu memboikot kehadiran pada sidang APEC atau tidak.

Anwar berkata, selepas memperoleh semua maklumat, barulah Malaysia akan membuat keputusan, seiring dengan keputusan negara Asia lain.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan dibangkitkan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad (PN-Machang) sama ada Malaysia bercadang untuk memboikot sidang APEC nanti sebagai tanda solidariti terhadap Palestin.

BBerkaitan

Latest articles