Hadi Tak Perlu ‘Sibuk’ Tentukan Undi Ahli UMNO

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak perlu mencampuri urusan parti lain khususnya UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, Presiden PAS itu tidak perlu mengarahkan ahli UMNO atas pagar untuk memberi undi kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram.

“Tidak ada mana-mana ahli politik yang harus campur kepada hal ehwal mana-mana parti politik yang lain.

“Pada hemat saya, mana-mana tokoh politik eloklah jaga parti masing-masing. Biarlah kami jaga parti kami,” katanya kepada pemberita di Menara Mara, di sini, hari ini.

Semalam, Abdul Hadi ketika Ceramah Perdana PN DUN Simpang Jeram berharap ahli UMNO atas pagar supaya insaf dan sedar agar memberi mengundi calon PN di PRK DUN Simpang Jeram, Johor.

Abdul Hadi berkata, ini kerana mereka juga bertanggungjawab untuk menyelamatkan negara dan Islam.

Ahmad Zahid memberi jaminan UMNO akan kembali sebagai sebuah parti yang kuat dan mendapat kepercayaan rakyat khususnya jutaan ahlinya dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Apa pun keadaannya, kita akan muncul dan memperkasakan parti ini, Insya-Allah.

“Kita akan lihat di dalam mana-mana PRK yang sedang berlaku atau Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan apatah lagi dalam PRU16 nanti,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles