Hadi: Sejarah Buktikan Ada Parti Politik Terkubur Selepas Berpisah Dengan PAS

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata sudah ada beberapa parti yang berkubur dan sebahagiannya tanpa nisan setelah berpisah dan tidak meneruskan kerjasama dengan parti itu.

Sambil menolak persepsi riak atau angkuh, Hadi menegaskan perkara itu adalah hakikat sepanjang perjuangan PAS, malah memaklumkan bahawa partinya tidak pernah berdepan kerugian dalam semua kerjasama politik yang dibentuk.

Perkara itu, katanya, disaksikan oleh mereka yang membuat penyelidikan secara jujur, termasuk dalam kalangan mereka yang datang mahu mengintip, sehingga berniat jahat dengan menebuk bahtera PAS atau mencuri ahli sehinggalah pemimpinnya.

“Namun, bahtera PAS gagal untuk ditembusi dan tidak dapat ditenggelamkan. Sebaliknya, mereka yang berjaya ditarik keluar daripada PAS, akhirnya tenggelam dalam lipatan sejarah, sama ada ketika masih hidup atau setelah meninggal dunia,” katanya dalam Minda Presiden yang dimuatnaik di laman Facebook hari ini.

Abdul Hadi berkata, bahtera Islam terus berjalan semakin laju, tidak tersungkur kerana melampau dan tidak ketinggalan kerana jatuh.

Katanya lagi ahli PAS semakin ramai, penumpangnya pula sentiasa bertambah dan menjadikan penggeraknya sentiasa silih berganti.

Hal ini menjadikan PAS lebih matang kerana pengalamannya bertambah dan perjalanannya lebih sejahtera.