Hadi: Pembunuhan Khamenei Bukti Kezaliman Terang-Terangan

KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang melontarkan kecaman keras terhadap Amerika Syarikat dan Israel susulan dakwaan pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei dalam satu serangan ke atas negara itu.

Menurut beliau, tindakan tersebut bukan sahaja mencabul prinsip keadilan sejagat, malah mengancam keselamatan serta kedaulatan Iran sebagai sebuah negara berdaulat.

“Pas mengecam sekeras-kerasnya serangan Amerika Syarikat dan Israel yang mengorbankan nyawa Ayatollah Ali Khamenei,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hadi mendakwa serangan itu menyasarkan lokasi strategik termasuk kawasan berkaitan kepimpinan tertinggi Iran, sekali gus disifatkan sebagai tindakan ganas dan tidak berperikemanusiaan.

Dalam kenyataan sama, beliau memetik Surah al-Ahzab ayat 23 yang menyentuh mengenai pengorbanan golongan beriman yang menunaikan janji kepada Allah SWT, dan menyifatkan insiden tersebut sebagai lambang keteguhan perjuangan meskipun berdepan ancaman nyawa.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Khamenei serta mendoakan agar pemimpin itu dikurniakan ganjaran syahid.

Hadi dalam masa sama menggesa masyarakat antarabangsa supaya bangkit mengutuk tindakan yang didakwanya sebagai pengecut dan jenayah perang di Asia Barat.

Terdahulu, penyiar milik kerajaan Iran, Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB) mengumumkan bahawa Khamenei “telah syahid”, sekali gus mengesahkan spekulasi yang tercetus sejak beberapa jam sebelumnya.

Sebelum itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Israel mendakwa pemimpin tertinggi Iran berkenaan maut dalam operasi ketenteraan bersama, walaupun dakwaan tersebut pada awalnya dinafikan pihak berkuasa Tehran sebagai perang psikologi.

BBerkaitan

Latest articles