KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menafikan beliau pernah membuat kenyataan kononnya menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.
Bagaimanapun Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu memberitahu dirinyabersedia dan terbuka untuk memberi keterangan jika dipanggil Bukit Aman untuk siasatan ke atas kenyataan berkenaan.
Bahkan ini bukan kali pertama dipanggil ke Bukit Aman, katanya.
“Saya bukan sekali dua dipanggil Bukit Aman. Boleh pergi Bukit Aman, tak jadi masalah. Memang saya terbuka, sedia untuk disiasat.
“Siapa kata Anwar ejen Israel? Saya tak kata, kalau saya tak kata, dia yang kata, terserah dia lah.
“Bukit Aman tahu saya kata, tak kata sebab apabila saya ceramah pun dia rakam, kenyataan media saya pun Bukit Aman baca. Saya kata, tak kata ke terpulang,” katanya di sidang media sejurus ceramah PN di Bandar Baru Rompin semalam.
Laporan media menyebut bahawa Abdul Hadi disiasat oleh Bukit Aman kerana menuduh Anwar sebagai ejen Israel.
Begitu juga dengan Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad yang turut akan disiasat berhubung kenyataannya yang mendakwa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sebagai ejen Israel.
Menurut Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Noorsiah Mohd. siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 504, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.