Hadi Desak PN Adakan Mesyuarat Tergempar Lantik Pengganti Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menggesa Perikatan Nasional (PN) segera mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi bagi membincangkan penerimaan serta pengesahan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi gabungan itu, selain melantik pengerusi baharu.

Menurut Abdul Hadi, langkah memanggil mesyuarat tergempar tersebut adalah selaras dengan peruntukan Fasal 8.3(l)(b) dalam Perlembagaan PN.

Beliau menegaskan perkara itu perlu diberi perhatian segera kerana tarikh kuat kuasa peletakan jawatan berkenaan telah melebihi tempoh 10 hari.

Perkara itu dinyatakan dalam sepucuk surat bertarikh 10 Januari 2026 yang dihantar kepada timbalan-timbalan pengerusi serta ahli-ahli Majlis Tertinggi PN.

Dalam surat berkenaan, Abdul Hadi memaklumkan beliau menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN pada 30 Disember 2025.

Beliau berkata, Pas menghormati keputusan yang dibuat oleh Muhyiddin dan menerima peletakan jawatan tersebut dengan penuh tertib.

Pada masa sama, Pas turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala sumbangan dan jasa bakti yang dicurahkan oleh Muhyiddin sepanjang menerajui Perikatan Nasional.

BBerkaitan

Latest articles