Hadi: Calon PM Mesti Di Bawah 70 Tahun, Akui Tak Layak

ALOR SETAR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi bayangan bahawa calon Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) perlu dipilih dalam kalangan pemimpin berusia bawah 70 tahun, memiliki ilmu, integriti serta tahap kesihatan yang baik.

Menurut beliau, faktor usia menjadikan dirinya tidak lagi sesuai untuk menggalas jawatan tertinggi negara itu.

“Saya sudah 78 tahun. Orang macam saya ini tidak layak dah, biarlah yang lebih muda, bawah 70 tahun, lebih gagah dan kuat memimpin. Al-Quran juga tekankan pemimpin mesti berilmu, berintegriti dan sihat tubuh badan,” katanya ketika sidang media selepas Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-71 di Kompleks PAS Kedah, hari ini.

Sebelum ini, Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu meluluskan usul menamakan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai calon Perdana Menteri ke-11.

Namun, dalam PAS sendiri wujud pandangan berbeza.

Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, serta dua naib presiden parti itu turut layak dipertimbangkan berdasarkan pengalaman luas mereka dalam pentadbiran negeri dan kerajaan pusat.

Abdul Hadi menegaskan, Perdana Menteri kelak harus memimpin secara kolektif dengan barisan kabinet yang inklusif, merangkumi pelbagai kaum dan kepakaran.

“PN perlukan kabinet yang bukan sahaja terdiri daripada ahli politik, tetapi juga golongan teknokrat jika perlu, demi memastikan kerajaan benar-benar berpaksikan rakyat,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai kesediaan PAS untuk memimpin Malaysia, Abdul Hadi berkata keutamaan PN ketika ini adalah memenangi pilihan raya terlebih dahulu sebelum menentukan siapa bakal menerajui Putrajaya.

“Soal siapa jadi Perdana Menteri, itu akan diputuskan secara dalaman PN. Jawatan ini amanah, kalau dilaksanakan dengan baik dapat pahala, kalau gagal menanggungnya boleh membawa ke neraka. Sebab itu pemilihan pemimpin bukan perkara mudah,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles