Hadi Bakal Jalani Rawatan, Tahap Kesihatan Semakin Menurun

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dijadualkan menjalani satu prosedur rawatan kesihatan esok, menurut kenyataan anaknya, Muhammad Khalil Abdul Hadi, yang turut memohon rakyat mendoakan kesembuhan ayahandanya.

“Saya mewakili pihak keluarga memohon agar didoakan kesihatan dan kesembuhan buat ayahanda tuan guru,” kata Khalil dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.

Kesihatan Abdul Hadi, yang kini berusia 77 tahun, dilaporkan semakin merosot sejak beberapa tahun lalu.

Ahli Parlimen Marang itu telah beberapa kali dimasukkan ke hospital dan menjalani rawatan dialisis secara berkala.

Pada awal bulan ini, Sinar Harian melaporkan bahawa Abdul Hadi membayangkan hasrat untuk berundur daripada jawatan Presiden PAS, satu pernyataan yang dikatakan dibuat dalam sesi pemukiman parti di Terengganu baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS, Mokhtar Senik, turut mendakwa wujud beberapa gesaan agar Abdul Hadi melepaskan jawatan Presiden atas faktor kesihatan dan kesinambungan kepimpinan parti.

Namun begitu, beberapa pimpinan PAS di peringkat negeri dilaporkan menafikan perkara itu.

Abdul Hadi, yang telah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Marang selama tujuh penggal, juga merupakan figura utama blok pembangkang di peringkat nasional dan dikenali sebagai pendukung kuat agenda politik Islam di Malaysia.

BBerkaitan

Latest articles