Hadi Awang Terus Pertahan Jawatan Presiden PAS

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengekalkan jawatannya selepas disahkan menang tanpa bertanding bagi penggal 2025-2027, sekali gus meneruskan kepimpinan yang dipegang sejak 2005.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat (JKPP), Wan Rohimi Wan Daud, berkata pengesahan dibuat selepas jawapan tawaran pencalonan diteliti dalam mesyuarat jawatankuasa pada Selasa lalu.

Turut diumumkan, Timbalan Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang juga kekal tanpa dicabar.

Kedua-dua pemimpin berkenaan tidak pernah berdepan saingan sejak pemilihan 2015.

Selain itu, Hussin Ismail dan Kamal Shaari masing-masing terus memegang jawatan Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap, manakala tiga jawatan Naib Presiden diisi semula oleh Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Datuk Idris Ahmad serta Datuk Mohd Amar Abdullah, semuanya menang tanpa bertanding.

“Bagi jawatankuasa kerja PAS Pusat, 38 calon diterima manakala lapan lagi menolak pencalonan, menyebabkan pertandingan hanya berlaku di peringkat itu,” kata Wan Rohimi dalam kenyataan.

Dalam pada itu, semua jawatan dalam Dewan Ulama PAS Pusat turut dimenangi tanpa bertanding dengan Ahmad Yahaya kekal sebagai ketua.

Bagi sayap parti, Afnan Hamimi Taib Azamudden disahkan menerajui Pemuda PAS, manakala Dewan Muslimat sekali lagi dipimpin Nuridah Salleh.

Muktamar PAS akan berlangsung dari 11 hingga 16 September ini, bermula dengan persidangan sayap sebelum sesi utama.

BBerkaitan

Latest articles