KUALA LUMPUR: Mesyuarat sekretariat Kerajaan Perpaduan kali pertama yang dihadiri pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan dan Barisan Nasional (BN) telah mencapai kesepakatan untuk kesemua parti politik di dalam gabungan itu tidak saling bersaing dalam pilihan raya di enam negeri.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata PRN itu nanti akan menyaksikan semua pihak di dalam Kerajaan Perpaduan dalam semangat bekerjasama.
“Kami akan menghadapi pilihan raya negeri ini dengan semangat kerjasama.
“Susulan persefahaman awal yang ada antara PH dan BN, ini bermakna Negeri Sembilan tidak akan berdepan ketidakstabilan berikutan daripada pilihan raya negeri yang akan dijalankan.
“Kerjasama yang wujud ini sebaliknya akan membawa kestabilan politik kepada Negeri Sembilan,” katanya memetik laporan Guang Ming Daily.
Anthony berkata, kerajaan perpaduan pada masa ini merangkumi lima pakatan politik dan 20 parti.
“Sejak 2008, tiada seorang perdana menteri pun yang dapat mentadbir negara dengan sokongan majoriti dua pertiga.
“Tetapi kerajaan sekarang mendapat sokongan dua pertiga iaitu 148 Ahli Parlimen menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
“Oleh itu, boleh dikatakan bahawa kerajaan perpaduan pada masa ini merupakan yang paling kukuh dan kuat sejak 2008,” katanya .
Tambahnya, keutamaan kerajaan perpaduan adalah menambah baik ekonomi.