Had Tempoh Jawatan PM Tak Lebih 10 Tahun Akan Dikaji

KUALA LUMPUR: Mesyuarat di antara Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara dan beberapa pihak berkepentingan pada 30 September lalu bersetuju secara dasarnya dengan cadangan meminda Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri (PM) kepada tidak lebih 10 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, mesyuarat itu juga membincangkan persoalan dasar yang timbul dari pelaksanaan cadangan itu.

“Mesyuarat bersetuju bahawa perkara ini perlu dikaji dengan lebih teliti terutamanya parameter, kandungan dan implikasi pindaan.

“Portfolio saya bersama Jabatan Peguam Negara dan pihak berkepentingan lain akan mengkaji perkara ini dan dapatan awal akan dikemukakan kepada saya pada penghujung bulan ini,” katanya dalam sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.

Sehubungan itu, soal selidik telah disediakan untuk mendapatkan pandangan orang awam berkaitan isu pengehadan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Soal selidik berkenaan telah dimuat naik di portal BHEUU dan telah dikemukakan kepada agensi kerajaan, CSO dan NGO untuk pandangan awam serta boleh jawab mulai semalam hingga 8 Disember ini.

“Dapatan dari kajian soal selidik ini akan membantu dalam mendapat pandangan orang awam berkaitan cadangan itu.

“Semasa taklimat Peguam Negara di Mesyuarat Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik semalam, didapati juga masih terdapat persoalan dasar yang tidak dapat dijawab.

“Oleh itu, jawatankuasa ini akan turut meneliti persoalan yang dibangkitkan berkaitan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri,” katanya

Berita Berkaitan

Komen

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Advertisment

Terkini