Had 10 Tahun Jawatan PM: Zahid Sifatkan Langkah ‘Game Changer’ Politik Negara

KUALA LUMPUR: Cadangan untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal penuh dilihat sebagai langkah reformasi institusi paling besar yang berpotensi mengubah landskap politik serta sistem tadbir urus negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, idea tersebut dicetuskan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Mesyuarat Kabinet khas yang diadakan semalam, sebelum mendapat persetujuan sebulat suara Jemaah Menteri.

Menurut Ahmad Zahid, had tempoh itu penting bagi mengelakkan seseorang pemimpin berada terlalu lama di tampuk kuasa sehingga menimbulkan risiko kelesuan pentadbiran.

“Walau sebaik mana prestasi seorang Perdana Menteri, jika terlalu lama memegang jawatan, ia boleh memberi kesan negatif terhadap keberkesanan pentadbiran dan persepsi rakyat,” katanya pada sidang media sempena Amanat Tahun Baharu di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), hari ini.

Semalam, Anwar memaklumkan kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri pada sesi Parlimen kali ini.

RUU tersebut merupakan antara empat perundangan baharu yang menjadi fokus utama Parlimen tahun ini selaras dengan agenda reformasi institusi Kerajaan Madani.

Ahmad Zahid menjelaskan, skop RUU berkenaan bukan hanya terhad kepada jawatan Perdana Menteri, malah turut merangkumi jawatan strategik lain seperti Ketua Setiausaha Negara (KSN), yang juga dicadangkan dihadkan kepada tempoh maksimum 10 tahun, selain melibatkan struktur pentadbiran di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau menegaskan, langkah itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya membawa implikasi besar terhadap pengagihan kuasa, tahap akauntabiliti serta kesinambungan kepimpinan negara, sekali gus mencerminkan kesepakatan politik di peringkat tertinggi kerajaan untuk memperkukuh sistem demokrasi Malaysia.

BBerkaitan

Latest articles