KUALA LUMPUR: Polis sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan kes amang seksual fizikal membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun yang dipercayai dilakukan oleh seorang bekas banduan, yang juga merupakan guru di sebuah sekolah di kawasan Desa Pandan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada bapa mangsa pada 3 Februari lalu.
Menurut beliau, mangsa mendakwa mengenali suspek dan memaklumkan telah diliwat oleh lelaki berkenaan sebanyak beberapa kali.
“Berdasarkan laporan yang diterima, suspek dikenal pasti sebagai seorang guru di sebuah sekolah di Desa Pandan. Mangsa mendakwa perbuatan tersebut berlaku berulang kali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan laporan itu, polis telah menahan suspek bagi membantu siasatan.
Hasil semakan lanjut mendapati lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah dijatuhi hukuman penjara selama lapan tahun serta enam sebatan bagi dua kes terdahulu.
Bagaimanapun, Lazim berkata pihak polis tidak mendedahkan butiran kesalahan yang pernah disabitkan terhadap suspek sebelum ini.
Tambah beliau, siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman berat jika sabit kesalahan.
Polis turut menegaskan bahawa siasatan masih berjalan dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan atau menjejaskan privasi mangsa.










