KLANG: Seorang guru taska mengaku bersalah atas tuduhan mendera seorang bayi lelaki di sebuah taska di Puncak Alam, dekat sini minggu lalu.
Nur Suhadah Saharudin, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohamed Redza, di Mahkamah Sesyen.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menganiaya seorang bayi lelaki berumur 11 bulan itu dengan mencubit pipi dan telinga sehingga mendatangkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu dilakukan pada 13 Disember lalu kira-kira jam 6.15 petang di taska yang terletak di Puncak Alam dekat sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.
Tertuduh tidak diwakili peguam merayu jaminan terhadapnya dikurangkan atas kesalahan itu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azamuddin Razak memohon tarikh baharu pada 24 Disember bagi sebutan fakta kes dan jatuh hukum di Mahkamah Kuala Selangor.
Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh tidak mengganggu mangsa.
Sabtu lepas, polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berhubung terdapat kesan lebam pada pipi dan telinga sebelah kanan anaknya selepas mengambil bayi itu dari sebuah taska pada 6.15 petang, Jumaat lepas.
Susulan itu, polis menahan guru taska terbabit di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh pada 6.50 petang, Sabtu lepas.