Guru Tahfiz Direman Tujuh Hari Disyaki Rotan Murid Hingga Lebam

ALOR GAJAH: Seorang guru tahfiz berusia 22 tahun direman tujuh hari bermula hari ini selepas disyaki merotan muridnya berusia 12 tahun sehingga menyebabkan kesan lebam di beberapa anggota badan.

Perintah reman sehingga 9 September itu dikeluarkan Hakim Aiza Khairuddin di Mahkamah Sesyen Alor Gajah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurut sumber, kejadian terbongkar semalam apabila ibu mangsa, seorang anggota tentera berusia 42 tahun, menemui kesan lebam lama dan baru di belakang badan, paha, tangan serta kaki anaknya ketika pulang ke rumah bekas suami di Taman Bidara Setia.

“Kanak-kanak itu mendakwa dipukul dengan rotan oleh gurunya atas pelbagai kesalahan sejak dua tahun lalu ketika menuntut di sebuah pusat tahfiz di Tanjung Bidara,” katanya.

Difahamkan, ibu mangsa kemudian menghubungi suspek yang mengakui merotan murid tersebut kerana mendakwa sukar dikawal dan tidak mendengar arahan.

Tidak berpuas hati dengan tindakan itu, wanita berkenaan membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah sebelum mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan.

Susulan laporan itu, sepasukan polis menahan guru tahfiz terbabit di pusat pengajian berkenaan sebelum dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman.

Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintenden Azrul Mohamed, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan masih dijalankan.

BBerkaitan

Latest articles