Guru Penolong Kanan Mengaku Tak Bersalah Peluk, Cuba Cium Mulut Murid Tahun 6

IPOH: Seorang guru penolong kanan kokurikulum di sebuah sekolah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid perempuan, dengan dua kejadian berasingan pada September lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Teh Chau Teik, 37, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid perempuan berusia 12 tahun bagi maksud seksual dengan memeluk dari belakang dan mencium mulut mangsa.

Kesalahan itu dilakukan dalam kelas di sebuah sekolah rendah di Bandar Baru Sri Klebang, Chemor, dekat sini pada jam 6.40 pagi, 11 September lalu.

Manakala pertuduhan kedua dimaklumkan bahawa tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama ke atas mangsa sama dalam sebuah lagi kelas di sekolah sama pada jam 6.40 pagi, 26 September lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan, guru terbabit didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan itu turut dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukan hukuman tambahan penjara lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah menawarkan wang jaminan tidak kurang RM50,000 kepada tertuduh serta syarat tambahan yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Bagaimanapun, peguam mewakili guru berkenaan, S Teeban Kummar memohon mahkamah membenarkan jaminan minimum.

Katanya ini kerana anak guamnya yang berpendapatan bulanan RM7,000 perlu menanggung ibu dan tiga adiknya di samping mempunyai masalah kesihatan.

Hakim Jean Sharmila membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin, serta dikenakan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan dan tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 17 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

BBerkaitan

Latest articles