Guru Kelar Isteri Dihantar Ke Wad Psikiatri Untuk Pemeriksaan

GEORGE TOWN: Guru lelaki yang disyaki cuba membunuh isterinya dalam kejadian di sebuah kediaman di Taman Tunas Muda, Sungai Ara semalam, telah dihantar ke Wad Psikiatri Jalan Perak untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, langkah itu diambil bagi menilai tahap kesihatan mental suspek sebelum siasatan diteruskan.

“Pihak kami akan memantau rapat perkembangan suspek dan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam perkembangan sama, Sazalee memaklumkan isteri suspek yang juga seorang guru telah dibenarkan keluar dari Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas doktor mengesahkan keadaannya stabil.

“Setakat ini, polis masih belum mengambil keterangan daripada kedua-dua pihak. Mangsa akan dipanggil untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

Terdahulu, insiden itu mengejutkan penduduk apabila wanita berkenaan nyaris maut selepas ditikam suaminya kira-kira jam 6 pagi semalam.

Kejadian terbongkar selepas ibu mangsa terdengar jeritan dari tingkat atas rumah sebelum bergegas naik dan melihat menantunya sedang menindih anaknya sambil cuba mengelar leher wanita itu.

Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan dan dikejarkan ke hospital, manakala suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles