Guru Didakwa Lakukan Amang Seksual Fizikal ke Atas Pelajar Lelaki

IPOH: Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun, September tahun lalu.

Tertuduh, Airil Iswan Mat Shamsuri, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Berdasarkan kertas pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa di sebuah rumah di Gerbang Meru Indah, masing-masing pada 10.30 malam, 13 September 2024 dan awal pagi keesokan harinya.

Dia turut didakwa melakukan kesalahan sama dengan menyentuh mangsa bagi maksud seksual ketika berada di dalam bilik warden sebuah sekolah menengah di Ipoh, pada awal pagi 27 September 2024.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun, tidak menawarkan sebarang jaminan namun mencadangkan jumlah RM40,000 sekiranya mahkamah membenarkan, dengan syarat tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis setiap bulan serta tidak mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 Oktober depan.

BBerkaitan

Latest articles