Guru Didakwa Cuba Bunuh Isteri Dihantar Ke Hospital Bahagia Untuk Pemeriksaan Mental

GEORGETOWN: Seorang guru lelaki yang didakwa cuba membunuh isterinya bulan lalu diperintahkan Mahkamah Sesyen di sini supaya dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi menjalani pemeriksaan mental.

Perintah itu dibuat Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin selepas tertuduh, Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30, memaklumkan bahawa dia tidak memahami pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Melayu sepanjang prosiding berlangsung.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa cuba membunuh isterinya, Hanis Sofea Hamdan, 28, menggunakan sebilah pisau di rumah mereka di Lintang Bayan 1, Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas, kira-kira jam 5.45 pagi pada 27 Ogos lalu.

Kes itu dikendalikan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani, ketika prosiding memohon agar tertuduh dihantar ke hospital bagi menjalani penilaian kesihatan mental, selaras dengan memo perubatan yang dikeluarkan seorang doktor di Hospital Pulau Pinang.

Permohonan itu turut disokong barisan peguam bela tertuduh, iaitu Muhaimin Hashim, Yazid Khairul Azman dan Ismat Arif Abu Hassan, yang menjelaskan bahawa anak guam mereka masih gagal memahami penjelasan berhubung prosiding perbicaraan.

“Kami tidak membantah cadangan pihak pendakwaan. Malah, kami bersetuju anak guam kami dihantar ke Hospital Bahagia bagi menentukan sama ada beliau benar-benar berupaya menjalani perbicaraan,” kata peguam.

Hakim kemudian membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan 8 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Di luar mahkamah, peguam Yazid Khairul memberitahu wartawan bahawa anak guam mereka tidak memberikan sebarang respon ketika ditemui barisan pembelaan, dipercayai akibat tekanan yang dialaminya sejak kejadian berlaku.

BBerkaitan

Latest articles