“Gunakan Bantuan SARA RM100 Bantu Golongan Rentan” – Ameer Ali Beri Saranan Golongan T20

KUALA LUMPUR: Golongan berpendapatan tinggi seperti T20 disarankan supaya tidak membelanjakan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 yang diberikan kerajaan, sebaliknya menggunakannya untuk membantu golongan yang lebih memerlukan.

Cadangan itu dikemukakan oleh Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Wira Ameer Ali Mydin, susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan wang bantuan yang tidak digunakan menjelang hujung tahun ini akan dikumpulkan dan diagihkan semula kepada kumpulan rentan tahun hadapan.

“Ini satu inisiatif yang baik. Maka saya harap mereka yang tidak memerlukan bantuan ini, seperti golongan T20, tidak perlu menggunakannya.

“Sebaliknya, mereka boleh gunakan bantuan tersebut untuk membeli kotak bantuan barangan dan makanan asas untuk diagihkan kepada individu yang memerlukan,” katanya sepertimana yang dilaporkan FMT.

Ameer yang juga pemilik rangkaian pasar raya Mydin berkata, beliau tidak melihat sebarang masalah besar terhadap pelaksanaan program ini memandangkan peruncit-peruncit yang terlibat telah biasa dengan mekanisme SARA sejak ia mula diperkenalkan.

Namun begitu, beliau menjangkakan kemungkinan berlaku sedikit kesesakan di pasar raya pada awal pelaksanaan bantuan tersebut, terutama ketika hujung bulan.

“Mungkin akan berlaku barisan panjang apabila ramai yang datang membeli selepas menerima gaji. Tapi ini hanya sementara. Selepas beberapa hari, keadaan akan kembali normal,” katanya.

Tambah beliau, golongan selain B40 dijangka tidak akan segera membelanjakan bantuan tersebut kerana tempoh sah penggunaannya adalah sehingga Disember 2025.

Terdahulu Perdana Menteri pada semalam mengumumkan bantuan tunai RM100 secara ‘one-off’ akan diberi kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas, melibatkan peruntukan sebanyak RM2 bilion di bawah perluasan program SARA 2025.

Anwar berkata, bantuan itu akan dikreditkan terus ke dalam MyKad dan boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas terpilih, sebagai langkah meringankan kos sara hidup serta menghargai rakyat sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Program ini dijangka memanfaatkan 22 juta rakyat Malaysia.

BBerkaitan

Latest articles